Sejarah Sekolah
Sekolah Kebangsaan Ngee Heng, Johor Bahru telah dibuka pada tahun 1920. Bahasa pengantarnya adalah dalam Bahasa Inggeris dan dinamakan Ngee Heng English School.
Asal bangunan sekolah ini terletak di persimpangan Jalan Abdul Rahman Andak dengan Jalan Draper. Dalam tahun 30-an, sekolah ini telah dipindahkan ke Jalan Glendering.
Selepas tahun 1946, sekolah ini telah dinamakan Ngee Heng Primary School (2). Pentadbirannya dibahagikan kepada dua orang guru besar.
Pada tahun 1973 apabila Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan, sekolah ini dinamakan Sekolah Rendah Kebangsaan Ngee Heng. Sekolah ini ditadbir oleh seorang guru besar sahaja.
Pada tahun 1982, sekali lagi sekolah ini dipindahkan ke bangunan yang digunakan ke bangunan yang terletak di Jalan Abdul Rahman Andak. Sekolah ini terdiri daripada satu bangunan batu dan satu bangunan papan. Bangunan lama telah dijadikan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.
Sejak kewujudan sekolah ini, sehingga sebelum Tanah Melayu diperintah oleh Jepun, guru-guru besarnya terdiri daripada orang-orang Inggeris. Anak Melayu yang pertama memegang jawatan Guru Besar di sekolah ini ialah En. Samsuddin Bin Abbas pada tahun 1984.
Sekolah ini telah melahirkan ramai negarawan, ahli akademik, ahli politik, doktor, peguam, arkitek dan ramai lagi dalam bidang-bidang tertentu.